Home > ISU DUNIA, MINDA MUJAHID > MINDAMUJAHID MENDAMBAKAN KEBIJAKSANAAN LUQMANUL HAKIM

MINDAMUJAHID MENDAMBAKAN KEBIJAKSANAAN LUQMANUL HAKIM


Makam Luqmanul Hakim, di Mahdhumas Iskadanriah

Tentang nama Luqman, tidak terdapat dalam al-Quran kecuali dalam surah Luqman, itupun di pertengahan surah. Dalam surah ini terdapat lapan ayat yang menyentuh tentang Luqman al-Hakim dan anak-anaknya, iaitu bermula dari ayat 12 hingga ke ayat 19. Para ulama tidak sepakat kata tentang siapakah Luqman itu? Dari manakah asal-usulnya? Adakah dia seorang Arab atau ‘Ajam? Apakah pekerjaannya dan adakah dia seorang nabi atau seorang hamba yang soleh?

Tentang namanya terdapat dalam “Tafsir al-Qurtubiy” yang diriwayatkan oleh Muhammad ibn Ishak bahawa namanya ialah Luqman ibn Ba’ura’ ibn Nahur ibn Tarah dan Tarah ini ialah Azar ayah nabi Ibrahim a.s. Menurut silsilahnya Nahur mempunyai dua orang saudara iaitu Ibrahim dan Harun. Luqman adalah cucunya. Berdasarkan pendapat ini bolehlah dikatakan bahawa Luqman cucu saudara kepada Nabi Ibrahim a.s.

Menurut Abd al-Rahman al-Suhaylij:

Luqman ibn ‘Anqa’ ibn Sarun adalah seorang yang berketurunan Naubah dan suku bangsa ‘Aylah. Wahab ibn Munabbih berkata: Luqman adalah anak lelaki kepada saudara perempuan Nabi Ayub a.s. Sedangkan Muqatil pula berkata: Luqman adalah anak lelaki kepada emak saudara Nabi Ayub a.s.

Dari kedua-dua pandangan yang terakhir ini jelas menunjukkan bahawa Luqman ada hubungan dengan Nabi Ayub a.s. Cuma mereka berbeza pandangan apakah ia anak lelaki saudara perempuan Nabi Ayub a.s. atau anak lelaki emak saudaranya.

Diceritakan juga bahawa Luqman hidup seribu tahun semasa Nabi Daud a.s. dan sempat mengambil ilmu daripada Nabi Daud. Ia juga adalah sebagai ahli fatwa sebelum kebangkitan Nabi Daud, apabila Nabi Daud dibangkitkan maka terputuslah fatwanya.

Pintu masuk dan tangga turun ke makam Luqmanul Hakim

Tentang pekerjaannya terdapat pula pelbagai pandangan. Ada yang mengatakan bahawa Luqman adalah seorang tukang jahit. Ada yang mengatakan bahawa ia seorang pengembala kambing dan ada yang mengatakan ia seorang tukang kayu. Selain daripada itu terdapat juga pertikaian ulama tentang sama ada Luqman seorang hakim (bijaksana) atau seorang nabi (nubuwwah). Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa Luqman adalah seorang hakim bukan nabi termasuk Mujahid Said bin al-Musayyab dan Qatadah. Manakala Akramah dan al-Sya’bi berpendapat bahawa Luqman adalah seorang nabi.

Daripada pandangan-pandangan yang dikemukakan tadi dapatlah ditarik kesimpulan seperti berikut:

Tentang namanya para ulama tiada berselisih pandangan iaitu ((Luqman)). Apa yang menjadi perselisihan ialah tentang asal-usulnya. Oleh kerana tiada didapati nas-nas yang kuat dan sahih berkenaan asal-usulnya, saya berpendapat cukuplah berpegang dengan namanya yang termasyhur dan termaktub sebagai nama surah daripada surah-surah al-Quran.

Luqman adalah seorang lelaki yang soleh lagi bijaksana, bukan seorang nabi berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar katanya:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : لم يكن لقمان نبيّا ولكن كان عبدًا كثيرا التفكر

حسن اليقين أحبّ الله تعالى فأحبّه الله فمنّ عليه الحكمة.

Maksudnya: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah Luqman seorang nabi akan tetapi seorang hamba yang banyak berfikir, baik keyakinan dan sangat cintakan Allah hingga Allah mencintainya. Lalu dikurniakannya hikmat. Sekalipun terdapat berbagai-bagai pandangan berhubung dengan Luqman, namun yang penting bagi kita ialah keperibadiannya yang tinggi dengan pengurniaan hikmat daripada Allah itu adalah satu keistimewaan dan kelebihan yang mengatasi segala batas-batas suku bangsa, warna kulit, status sosial dan sebagainya. Dengan sebab itulah satu surah daripada surah-surah al-Quran dinamakan dengan namanya.

Dalam kitab-kitab tafsir banyak sekali disenaraikan kata-kata hikmat yang disandarkan kepada Luqman al-Hakim. Antara lain adalah seperti berikut :

Sesungguhnya emas itu diuji dengan api, manakala orang beriman itu diuji dengan bala.Tiada kekayaan lebih bernilai daripada kesihatan dan tiada nikmat lebih utama daripada baik hati (jiwa). Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan yang berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau masih terbaring di atas katilmu.

Dunia ini bagaikan lautan dalam, banyak orang yang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu jadikanlah taqwa kepadanya sebagai bahteramu, iman sebagai muatannya, tawakal sebagai layarnya, moga-moga engkau beroleh kejayaan. Sesungguhnya hanya kebijaksaan itu boleh meletakkan orang-orang miskin di tempat raja. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan umurmu lebih sedikit daripada yang sedikit itu, manakala yang masih baki lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

Rujukan:

Kertas kerja: Surah Luqman: Satu Analisis

Universiti Malaya

Categories: ISU DUNIA, MINDA MUJAHID
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: