Archive

Archive for 08/04/2010

Wehdatul Fikr Wehdatul Amal: Satu Fantasi Atau Realiti. Vol.1

08/04/2010 2 comments

Formula baru untuk Wehdatul Fikr Wehdatul Amal

Melihat kepada perpecahan ummah Islam selepas tahun 1924, tahun di mana terkuburnya khilafah ummah yang berpusat di Istanbul Turki. Mujaddid Islam telah bangun dan berusaha menyatukan Ummah di bawah satu naugan atau satu kumpulan bagi mengembalikan semua kesatuan ummah. Seperti Syeikh Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhamad Abduh, Syeikh Rasyid Redha dan ramai lagi telah berusaha menyedarkan ummah untuk kembali bersatu di bawah satu tunjang utama iaitu Islam dengan mendirikan semula khilafah yang telah terkubur.

Dari zaman ke zaman, tahun ke tahun, bulan ke bulan, hari ke hari, hinggalah tahun 2010 ini kita telah menyaksikan kebangkitan ummah Islam di seluruh dunia melalui gerakan Islam atau harakah Islamiah yang telah ditubuhkan oleh para pencipta kesatuan dan keadilan. Gerakan ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk mengembalikan kesatuan ummah ke arah mengembalikan khilafah dan keizzahan Islam. Pelbagai slogan dan tema dilaungkan oleh pimpinan gerakan Islam ini dengan pelbagai pendekatan demi untuk menyedarkan ummah betapa peripentingnya kesatuan dalam diri ummah Islam sebelum mereka bercita-cita mendirikan semula khilafah umamh.

“Islam adalah jalan penyelesaia”, “Islam untuk semua”, “Islam adalah agama keadilan dan sejahtera” adalah beberapa contoh slogan atau tema yang dimainkan oleh mereka dalam menyedar dan memaklumkan kepada ummah masa kini bahawa Islamlah agama bagi segala-segalanya. Demi untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.

Kenapa isu menyatukan ummah menjadi topik yang selalu dibincangkan bahkan sudah banyak diperkatakan sejak berzaman, tapi hasilnya masih tidak memuas dan menyakinkan? Untuk menjawab kepada persoalan di atas, penulis menyarankan kepada para pembaca untuk membaca dan mengkaji isi kandungan Itqan edisi 35 yang memberi fokus pembantaian ummah: kebobrokan ahzab moden mencabar sensetiviti. Pembaca pasti akan menemui jawapannya.

Read more…

Categories: MINDA MUJAHID

MUHASABAH DIRI: Petunjuk Dari Imam Ghazali

Peringkat Muhasabah diri yang dilakarkan oleh Imam Ghazali kepada manusia, yang akhirnya membawa hamba menemui Tuhannya

 Sahabat-sahabatku yang dikasihi………

Sesiapa yang menghisab dirinya sebelum dihisab maka akan diringankan hisabannya di akhirat kelak serta didatangkan jawabnya ketika disoal dan keelokan tempat kembali. Sebaliknya sesiapa yang tidak menghisab dirinya maka berkekalanlah kedukaannya dan panjanglah penghisabannya di Hari Pembalasan.

 Justeru, hendaklah kita bermuhasabah dan menyoal diri sendiri, adakah kita akan terlepas daripada dihisab? Oleh itu segeralah bermuhasabah sebelum terlambat.

 Sebagai panduan Imam Al Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah atau peringkat untuk bermuhasabah seperti mana berikut:

  •  Marhalah Pertama: Al Musyarothoh

Pada peringkat ini kita mengenali bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan yang soleh manakala kerosakan diri adalah berpunca daripada maksiat dan kejahatan.

  •  Marhalah Kedua: Al Murokobah

Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan dan perhatikanlah dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah Taala lantas melakukan maksiat terhadapnya maka segeralah bertaubat dan baikilah diri dengan mentaati segala suruhan dan larangannya.

  •  Marhalah Ketiga: Al Muhasabah

Apabila seseorang hamba itu menghisab dirinya pada akhir waktu, adakala rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan. Justeru, sewajarnya hamba itu memuji Allah, berdoa dengan penuh kesabaran dan thabat diatas perkara tersebut. Sekiranya, kehidupan seharian hamba itu dipenuhi dengan maksiat dan dosa maka hendaklah dia berhenti, mencela dan menegah dirinya daripada mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum itu.

  • Marhalah Keempat: Al Muakobah

Amaran dan tegahan untuk tidak melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi dengan iqab (denda) yang zahir agar iqab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa atau maksiat yang telah dilakukan.

 Diriwayatkan bahawa SaidianUmar Al Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat Asar berjamaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama’ pula mewajibkan diri dengan berpuasa selama setahun, berjalan kaki untuk menunaikan haji dan sebagainya bertujuan untuk menta’dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah Taala.

  • Marhalah Kelima: Al Mujahadah

Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melaksanakan iqab dan bermujahadah dari masa ke semasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh supaya tidak futur di pertengahan jalan.

Seruanku buat sahabat-sahabat yang dikasihi, segeralah bermuhasabah serta  ingatlah hala tuju dan persediaan kita untuk berhadapan dengan Hakim yang Maha Agung di Padang Mahsyar nanti. Adakah hari yang kita lalui kini lebih baik daripada semalam? Semoga kita semua diredhai Allah dan ditempatkan bersama hambanya yang solihin. Amin.

 

Categories: MINDA MUJAHID