HARI LAHIR: MISI MENTAJDIDKAN BAI`AH
Kek pertama dalam hidup untuk meraikan hari lahir mindamujahid
Artikel ini penulis coretkan sempenan hari lahir penulis pada 12 Mei yang lalu. Artikel ini penulis persembahkan untuk diri sendiri sebagai hadiah yang teristimewa dan untuk muhasabah diri. Penulis persembahkan juga kepada mereka yang menyambut hari lahir dalam bulan Mei ini, tidak dilupakan juga kepada mereka yang sudah dan yang akan meraikan hari lahir mereka. Moga apa yang penulis lakarkan ini, akan memberi manfaat kepada kita semua.
Terima kasih penulis ucapkan kepada adik-beradik seperjuangan di bumi Syam kerana mendoakan kerahmatan dan keberkatan dalam umur penulis. Moga apa yang kalian doa dan belanjakan untuk penulis juga terbias kepada kalian dalam meniti baki-baki umur di dunia ini. Tidak ada istilah yang lebih besar selain kalimah syukur yang dapat penulis ucapkan kepada Maha Pencipta kerana memanjangkan usia dan umur penulis untuk mengambil segala manfaat yang telah diciptakan oleh Allah Taala. Dalam masa yang sama untuk memberikan peringatan kepada penulis untuk penulis berhenti sejenak bermuhasabah atas apa yang penulis laku dan amalkan selama ini.
Umur adalah salah satu nikmat paling berharga yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Kerana umur adalah penentu kepada perjalanan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Jika umur kita diberkati oleh Allah Taala maka segala amal perbuatan kita akan dipandu dan dibimbing oleh Allah dala segenap lapangan kehidupan. Jika umur yang panjang tetapi tidak diberkati oleh Maha Pencipta, maka tidak mustahil penghujung kehidupan kita akan binasa hatta di dunia lagi. Maka, mengingati tarikh lahir itu amat penting dalam hidup seorang insan.
Sebahagian kita mengunakan istilah selamat hari lahir, ada juga sebahagian kita yang mengunakan istilah selamat hari jadi. Bagi pengamatan penulis dan sedikit cebisan ilmu yang ada, pengunaan istilah selamat hari jadi salah mengikut kaedah. Kaedah dari sudut hukum penciptaan dan adab kita dengan Allah taala. Kita tidak tahu bila kita dijadikan oleh Allah taala kerana berdalilkan firman Allah:
“Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh; kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”.Mukminun:12-14.
Ayat ini menunjukan kehebatan dan keagungan Allah dalam penciptaan manusia dan kemulian kepada manusia dalam peringkat penciptaan mereka. Dari ayat di atas, Dimanakah point yang menunjukkan tempoh dan masa Allah menciptakan manusia? Dalam surah Luqman ayat yang ke-14 Allah Taala menjawab kepada persoalan tersebut.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.Luqman:14
Sebagai seorang manusia, kita tidak tahu bila waktu dan masanya Allah mencipta dan menjadikan manusia, adakah ia bermula sejak ruh diciptakan atau ditiupkan?, atau adakah ia bermula sejak bertemunya sperma dua jantina?, atau adakah ia bermula seperti yang Allah ceritakan dalam surah mukminun ayat 12-14?. Walahu`alam. Bagi penulis tidak ada jawapan yang tepat akan semua persoalan di atas. Mungkin jawapanya ada, sekiranya kita sandarkan persoalan ini kepada ilmu sains dan penciptaan manusia. Tetapi bagi pandangan penulis, istilah hari lahir lebih tepat dan lengkap serta beradab. Serta kita dapat tahu dengan lebih tepat dari sudut tempat, tarikh, dan masa.
Memperingati tarikh kelahiran diri sendiri dan sesorang insan adalah baik dan harus. Menyambut hari kelahiran dengan pelbagai cara dan keramaian pun tidak salah sekiranya apa yang kita lakukan itu tidak mengalahi hukum dan adat seperti membazir, membuat majlis tari menari dan lain-lain. Disebalik apa yang diciptakan oleh Allah dibuka bumi ini ada maksudnya tersendiri, begitu juga dalam menyamgbut dan mengingati tarikh lahir pun ada maksud dan hikmahnya tersendiri. Maksud dan hikmah disebalik tarikh lahir ini banyak sebenarnya sekiranya kita amati dan kita renungi. Apa yang penulis ingin fokuskan adalah ia sebagai misi untuk kita mentajdid atau memperbaharui bai`ah yang kita telah menteraikan. Apa itu bai`ah?.
Bai`ah seperti yang difinasikan oleh Ibnu Khaldun adalah ialah perjanjian di atas ketaatan, seperti pembaiah memberi janji setia kepada pemimpinnya bahawa ia bersedia menerima segala tanggungjawab yang dipertanggungjawab ke atas dirinya samaada dalam keadaan cergas atau pun tidak.(dalam keadaan suka ataupun tidak suka).
Maksud mentajdidikan bai`ah dari hasil mengingati tarikh lahir yang penulis maksudkan di sini adalah kita mrenung semula dan bermuhasabah atas apa yang kita amal dan laksanakan selama ini. Tapi bilakah bai`ah ini termenterai? Sebelum menjawab kepada persoalan tersebut, Ingin penulis bahagikan aqad bai`ah yang kita lafazkan ini kepada 2 pihak yang secara sedar atau tidak kita telah pun mementeraikannya.
Pihak yang pertama: Allah dan Agamanya
Pihak yang kedua: Rasul dan manusia sekeliannya
Dengan pembahagian ini, memudahkan penulis untuk menjawab persoalan di atas iaitu bilakah bai`ah ini termenterai? Bagi pihak yang pertama, Bai`ah ini telah termenterai sejak sebelum kita diciptakan lagi sebagai seorang manusia iaitu ketika kita berada di alam ruh. Sebagai bukti, seperti yang termaktub dalam dokumen perjanjian kita denganNya dalam fasal 7 (al A`raaf) bab (ayat) 172.
“Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Fasal di atas menunjukkan kepada kita bahawa setiap anak dan zuriat Adam yang telah diciptakan oleh Allah telah melaksanakan aqad bai`ah ini tanpa mereka sedari. Dan yang menjadi saksi semasa majlis bai`ah ini dilaksanakan adalah setip diri anak adam itu sendiri. Diri mereka sendiri yang menjadi saksi kepada lafaz bai`ah yang mereka lafazkan. Jangan kita pelik dan hairan, apa yang penting, kita perlu menyedari akan hakikat tersebut.
Oleh yang demikian, kita sebagai hamba yang telah diciptakan oleh Allah perlu sedar dan ingati selalu bai`ah yang kita lafazkan ini, kerana seperti mana yang penulis telah katakan di atas, umur yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah penentukan kepada terlaksananya bai`ah ini, sekiranya kita melanggar dan mengkhianati bai`ah yang kita menteraikan ini, maka jawapannya umur kita tidak dirahmati dan diberkati. Sekiranya umur kita tidak dirahmati dan diberkati, maka menyudah kepada kehidupan kita adalah binasa. Sebab itulah penulis telah katakan, memperingati tarikh lahir adalah misi untuk mentajdidkan semula bai`ah kita dengan Allah yang Maha Esa.
Meraikan tarikh kelahiran membawa maksud umur kita di muka bumi ini tertambah dan meningkat. Menjadikan ia sebagai simbol tempoh perjanjian yang kita menteraikan ini dipanjangkan oleh Allah. Samada suka atau pun tidak, secara hakikatnya kita sudah pun mementeraikannya. Maka menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan segala isi bai`ah yang telah kita lafazkan ini. Apakah isi yang termaktub dalam perjanjian kita ini? Antara isi kandungan bai`ah ini kepada pihak yang pertama adalah seperti yang terkandung dalam fasal 6 (al-An`am) bab (ayat) 162-163 yang berbunyi
“(Katakanlah:”Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya).”
Fasal 10 (Yunus) bab (ayat) 14:
“Kemudian Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka Yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan Yang kamu akan lakukan.”
Fasal 9 (at-Taubah) bab (ayat) 105: (fasal untuk memelihara agama dan syariatNya).
“Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan”.
Fasal 22 (al-Hajj) bab (ayat) 78:
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad Yang sebenar-benarnya Dia lah Yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah Dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di Dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah). oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.”
Antara isi bai`ah kita kepada pihak yang ke-2 adalah seperti yang terkandung dalam fasal dan bab berikut:
Fasal 3 ( ali-`Imran) bab (ayat) 31:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Fasal 61 (af-Saff) bab (ayat) 14:
“Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (Agama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang Yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang Yang menang”.
Fasal 17 (al-Israk) bab (ayat) 23-24
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Fasal 5 (al-Maidah) bab (ayat) 8:
“Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan”.
Ini adalah sebahagian kecil dari isi-isi bai`ah yang terkandung dalam dokumen perjanjian kita dengan Allah dan Rasulnya. Mempunyai 114 fasal (surah), 30 bahagian kecil (juzuk) dan 6236 atau 6616 bab (ayat). Juga seperti yang terkandung dalam kutubus ahadis Nabi S.A.W. Semua isi bai`ah ini perlu diingat dan diamalkan selalu dalam kehidupan seseorag fardul muslim mahupun qiadah muslimah. Supaya apa yang kita dilaku dan laksanakan dibumi ini akan melalui landasan yang lurus serta mengikut acuan dari maha pencipta.
Ramai dikalangan kita tidak menyedari akan hakikat kehidupan insan. Asal usul kejadiannya, dari mana ia dating dan dari mana ia akan pergi serta akan dikembalikan. Apakah tujuan kedatangan di dunia yang fana ini dan lain-lain. Tetapi secara asasnya, apakah hakikat insan yang perlu kita sedari, insafi serta renungi:
- Hakikat sebagai seorang hamba kepada maha pencipta,
- Hakikat sebagai seorang khalifah Allah untuk mentadbir bumiNya,
- Hakikat sebagai seorang umat kepada nabi yang bernama Muhammad Bin Abdullah
- Hakikat sebagai seorang penganut kepada agama suciNya.
- Hakikat sebagai seorang anak kepada kepada insan yang bernama ibu dan ayah
- Hakikat sebagai seorang rakyat kepada seorang pemimpin yang adil dan Negara yang berdaulat
- Hakikat sebagai seorang mahasisa/si dan pelajar kepada guru dan murabbi
- Hakikat sebagai salah satu mahkluk yang mendiami bumi ini
Semua hakikat inilah yang perlu kita hayati dan sedari dalam kita menyambut hari kelahiran kita. Hari kelahiran kita juga membawa maksud tanggungjawab dan amanah kita makin tertambah dari semua sudut dan lapangan mengikut tahap dan keupayaan seseorang insan. Tapi tanggungjwab dan amanah itu tidak akan lari dan tercicir dari hakikat kita sebagai seorang insan kerana tuhan tidak memberikan sesuatu kepada insan melainkan mengikut kemampuan insan itu sendiri.
Untuk melaksanakan isi kandungan bai`ah ini, kita perlu tahu apakan cara dan kaedah perlaksanaannya yang tepat dan berkesan. Kerana setiap perkara itu ada syarat, rukun, dan kaedah perlaksaaan. Supaya kita tidak melaksanakan isi-isi kandungan bai`ah ini dalam keadaan yang sia-sia apatah lagi ia boleh membawa kepada kemurkaan Allah. Dalam masa yang sama, kita mengharapkan perlaksanaan kepada rukun bai`ah ini dapat kita laksanakan dengan baik dan mendapat keredhan Allah Taala.
Kita perlu ingat! Kita sudah mementeraikan perjanjian ini. Tidak menjadi pilihan kepada kita untuk tidak menunaikannya melainkan berusaha untuk melaksanakan dengan sebaik mungkin. Supaya kita tidak mendapat gelaran pengkhianat yang durjana dan hamba yang derhaka. Semuanya ini, penulis akan terangkan dalam artikel-artikel berseri dimasa akan datang dan sekiranya diizinkan Allah serta diberi kemampuan kepada diri yang lemah ini untuk menulis dan melakarnya.
Akhirnya, penulis mahu mengingati diri ini dan sahabat-sahabat yang sudah merai dan akan meraikan hari lahir mereka supaya memikirkan sejenak apa yang penulis tuliskan ini. Dalam masa yang sama meningkatkan azam serta keyakinan diri untuk terus menjadi hamba yang terbaik dan unggul kepada Allah Taala dan Umat yang terbaik kepada nabi Muhammad S.A.W. melalui bai`ah yang kita telah menteraikan ini. Moga kita menjadi hamba yang soleh dan umat yang muslihin. Hari lahir misi mentajdidkan bai`ah kita kepada Allah, rasulNya dan umat manusia sekalianya.
“Maka Adakah patut kamu menyangka Bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja Dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?” al-Mukminun:115