DI MANAKAH KITA KINI?
Zaman Kegemilangan Kita : selama 1314 tahun
Artikel ini saya tuliskan untuk Majalah Itqan PPMS pada tahun 2009 edisi 35 yang bertajuk:Pembantaian Ummah: Kebobrokan Ahzab Moden Mencabar Sensitiviti . Saya publishkan kembali artikel ini buat tatapan sahabat-sahabat semua.
“…Demi Allah, jejari yang setiap hari berzikir mentauhidkan Allah ini, enggan sekali menulis satu ayat pun yang memperakui dan tunduk kepada taghut…” – al-syahid Sayyid Qutb
Selepas menyelesaikan misi untuk menghabiskan beberapa buah buku dan bahan bacaan bersifat sejarah, pemikiran dan politik dalam beberapa minggu, tersentak di pemikiran dan terdetik di hati ini kelemahan dalam memahami isi kandungan dengan sebaik mungkin terhadap bahan bacaan tersebut dan disampaikan kepada khalayak umum. Kemalasan untuk membaca, mengkaji dan menyelidik adalah menjadi punca sebenar kepada perkara ini berlaku.
Tetapi terpaksa penulis melakukan demikian untuk menghasilkan satu natijah terbaik dalam mengolah dan menghuraikan isu yang diketengah dan dibincangkan oleh Itqan pada kali ini. Pembantaian Ummah: Kebobrokan Ahzab Moden Mencabar Sensitiviti. Tajuk fokus ini dijadikan sebagai edisi bumper kerana ia dilihat tidak ada isu yang paling besar yang berlaku di dunia ini melainkan isu ummah sejagat. Permasalahan yang berlaku ini adalah bukan disengajakan tetapi ia telah direncana dan dirancang oleh musuh Islam sejak kewafatan kekasih mulia Muhammad s.a.w.
Penulis bahagikan penulisan ini kepada beberapa bahagian dan sudut yang penting, dalam menghuraikan secara keseluruhan kepada apa yang dibincangkan dalam Itqan keluaran kali ini:
Sudut 1: Kehebatan umat super dan power sejak berzaman
Sudut 2: Hakikat ummah masa kini 1924-2009
Kejatuhan khilafah ummah dan kemunduran
Kelemahan ummah dari semua sudut: Kenegaraan, pentadbiran, politik, kewangan, ekonomi, ketenteraan, pendidikan,
Sudut 3: Hakikat punca yang sebenar
Tinggalkan Masadir syari`
Lawan Sunnatullah dan Sunnatul`alam
Sudut 4: Tindakan dan perubahan yang perlu dilakukan sebagai:
- Khilafah dan hamba kepada pencipta
- Umat kepada kekasihnya
- Rakyat kepada negara
- Anak kepada kedua ibu bapa
- Pelajar/mahasiswa kepada masyarakat dan bangsa
SUDUT 1 : KEHEBATAN UMAT SUPER DAN POWER SEJAK BERZAMAN
Sejarawan membahagikan peradaban Islam kepada beberapa zaman. Menurut Harun Nasution di dalam bukunya “Islam Ditinjau Dari Berbagai Aspeknya”, zaman itu terbahagi kepad tiga peringkat iaitu:
Zaman Klasik:
Zaman Klasik bermula dari zaman Rasulullah hingga jatuhnya pemerintahan Bani Abbasiyah di Baghdad. Zaman ini dikenali sebagai usaha merintis, mengembang dan maju menuju puncak pertama peradaban Islam ( 662-1258 ). Zaman ini mengabungkan tiga emas:
1. Nabi Muhammad di Mekah dan Madinah ( 622-623 )
2. Khulafa Ar-Rasyidin di Madinah ( 632-661 )
3. Kerajaan Bani Umaiyah di Damsyiq ( 661-750 )
4. Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad ( 750-1258 )
Zaman Pertengahan ( 1258-1923 )
Zaman Pertengahan bermula dari zaman kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad pada tahun 1258 ditangan Moggol sehingga zaman kemasukan pengaruh modenisasi di Eropah ke dalam dunia Islam. Zaman ini dikenali sebagai zaman kemunduran pertama peradaban Islam yang sering di sebut masa lembap kerana umat Islam pada waktu itu kehilangan Abbasiah di Baghdad yang menaungi mereka, maka lahir tiga kerajan besar pada waktu ini:
- Kerajaan Safawi di Parsi ( 1501-1722M)
- Kerajaan Mughal di India (1256-1707M )
- Kerajaan Uthmaniah di Turki ( 1299-1923M )
Pada tahun 1500-1700M, ketiga-tiga kerajaan ini berjaya mempelopori kemajuan kedua dalam peradaban Islam. Namun pada tahun 1700-1800M, kemunduran kembali lagi apabila budaya moden Eropah masuk ke dunia Islam. Kemasukan budaya ini melahirkan pergantungan kepada kekuatan Kolonial sehingga kedudukan Islam sendiri mengalami kemunduran.
Zaman Moden ( 1923-2009 )
Zaman Ketiga atau Zaman Moden bermula sejak tahun 1923 ( tahun kejatuhan empayar Uthmaniah Turki ) hingga sekarang. Zaman ini dikenali sebagai zaman penjajahan Eropah ke atas Negara-negara Islam dan melahirkan pengaruh modenisasi di kalangan umat Islam daripada peristiwa tersebut, lahir kebangkitan serta usaha pembaharuan dunia Islam. Mesir, Turki, India, Malaysia, Indonesia dan Negara-negara lain telah melakukan pembaharuan selepas mereka memperoleh kemerdekaan daripada penjajah.
SUDUT 2: REALITI UMMAH MASA KINI ( 1923-2009 )
Apabila kita gambarkan secara umum pada Zaman Klasik, peradaban Islam mengalami kemajuan pesat. Pada Zaman Pertengahan, peradaban Islam mengalami kemunduran sedangkan pada Zaman Moden, peradaban Islam mengalami kebangkitan dan pembaharuan.
Sesungguhnya umat Islam, khususnya di era ketiadaan khilafah ini, sedang mengalami kelemahan, fitnah dan perpecahan yang sangat dasyat, yang menjadikan mereka berada dibelakang rombongan perjalanan musuh Islam. Musibah secara bertubi-tubi telah melanda mereka yang mengakibatkan hilangnya keizzahan dan kemuliaan yang telah di anugerahkan Allah kepada mereka selaku umat super.
Firman Allah yang bermaksud :
“Sesiapa Yang mahukan kemuliaan ( maka hendaklah ia berusaha mencarinya Dengan jalan mematuhi perintah Allah ), kerana bagi Allah jualah Segala kemuliaan.
Itqan kali ini membincangkan dengan cara komprehensif iaitu permasalahan umat Islam dirakam tidak hanya tertumpu pada aspek politk bahkan merangkumi aspek-aspek lain seperti sains, intelektual, dakwah, pemerintahan, ekonomi, seni, bahasa, kemasyarakatan dan unsur-unsur yang lain.
SUDUT 3: HAKIKAT PUNCA YANG SEBENAR
Sabda Khatimul Anbiya s.a.w:
..sesungguhnya Allah akan mencampakkan Al-wahan ke dalam hati-hati kalian. Mereka( para sahabat ) bertanya : “wahai kekasih Allah, apakah yang dimaksudkan dengan al-wahan itu?”. Nabi s.a.w menjawab: “Mencintai dunia dan membenci kematian” ( Dalam riwayat lain, “benci akhirat” )
Rasulullah telah mengambarkan dalam hadis di atas bahawa yang di maksudkan ‘al-wahan’ adalah cinta dunia, kerana ia merupakan induk bagi segala dosa dan kerosakan, darinya lahir pelbagai dosa dan kemaksiatan. Dosa-dosa dan kemaksiatan tersebut sudah pasti merbahaya bagi individu, umat dan masyarakat.
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata di dalam kitabnya “Uddatul ash-Shabirin wa Dzakhiratu as-Syakirin” : Menyatakan bahawa cinta terhadap dunia adalah induk segala bencana, kemudaratan, kesalahan, perosak agama dan alam dari beberapa segi:
1. Cinta terhadap dunia menuntut adanya sikap pengagungan terhadapnya, padahal ia adalah jijik di sisi Allah Taala. Dan diantara dosa yang paling besar adalah mengagung-agungkan sesuatu yang telah dihina oleh Allah.
2. Allah Taala telah melaknat dan membenci dunia kecuali apa yang digunakan untuk mencari keredhaan-Nya.
3. Menjadikan dunia sebagai tujuan hidup dan wasilah untuk menuju ke negeri yang kekal abadi.
“Sesiapa yang menghendaki ( kesenangan hidup ) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa Yang Kami kehendaki ; kemudian Kami sediakan baginya neraka jahannam ( di akhirat kelak ), untuk membakarnya Dalam keadaan Yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.” ( Israk : 18 )
4. Mencintai dunia adalah penghalang bagi seseorang hamba untuk melakukan amalan-amalan yang bermanfaat untuk akhiratnya kerana sibuk mengejar habuan dunia.
5. Orang yang mencintai dunia dan segala isinya adalah orang yang paling tersiksa dengannya. Dia tersiksa pada tiga alam: alam Dunia, alam Barzakh dan alam Akhirat
6. Mencintai dunia menjadikannya sesuatu yang paling dicita-citakan oleh seorang hamba. Baik niat dan amalnya, maka baiklah balasan dan natijahnya begitu juga sebaliknya
7. Orang yang mencintai dunia adalah orang dan makhluk paling bodoh serta sedikit akalnya. Sebab dia telah mengutamakan sesuatu yang bersifat khayalan daripada perkara yang hakiki.
SUDUT 4: TINDAKAN KITA DAN PERUBAHAN YANG PERLU DILAKUKAN :
1. Persediaan dari segi Pemikiran (Mental)
Perubahan wajib sebagai suatu kemestian yang “dharuri” dilakukan oleh para pemuda Islam bagi menghadapi cabaran zaman, bagi menghadapi gelombang materialisme dan atheisme yang mengancam kewujudan Islam.
Pandangan yang mendalam tentang kedudukan Umat Islam di setiap tempat mengukuhkan lagi keperluan mempersiapkan pemuda Islam dengan persiapan yang mencukupi syarat untuk menunaikan tugas perubahan Islam yang dicita-citakan, malah ia menjadi suatu tanggungjawab agama yang tidak seharusnya diabaikan atau dipermudah-mudahkan.
Ciri-ciri Perubahan Islam
Perubahan Islam mempunyai ciri-ciri akidah dan akhlak yang berbeza dari aliran- aliran perubahan lain di dunia. Antara ciri-cirinya:
A) Perubahan Menyeluruh
Perubahan Islam bukan setakat perubahan suatu sudut dari sudut-sudut kehidupan manusia, baik di segi sosial, ekonomi, politik atau akidah, tetapi dari segi tabiatnya. Islam itu adalah merupakan manhaj yang menyeluruh ( Kulli dan Syamil ).
B) Perubahan Akidah ( ideological)
Betul tujuan / matlamat yang ingin dicapainya; betul dalam method atau manhaj
Betul wasilah dan terjamin tepatnya dari segi syara’ serta bersesuaian dengan roh Islam
Betul wasilah dan terjamin tepatnya dari segi syara‘ serta bersesuaian dengan roh Islam
Islam melihat perubahan itu bukan sahaja dari segi tujuan tetapi juga dari segi wasilah ( jalan ) bagi menegakkan perintah Allah dan melaksanakan hukumNya
C) Perubahan Berperikemanusiaan
Ertinya, ia tidak akan menuju kepada kebaikan dengan melalui jalan keburukan, dan menghirup kehinaan untuk sampai ke mercu kebahagiaan. Atau ia tidak membina bangunan di atas tengkorak dan darah.
Kita Dan Perubahan
Berkata Syeikh Salim Bin`Ied al-Hilaly dalam karyanya Badaai`ul Hikam:
“Tashfiyah ( pembersihan ) dan Tarbiah adalah jalan kami untuk melalui kehidupan yang Islami dan mendirikan khalifah yang lurus di atas manhaj al-Nubuwwah serta menerapkan hukum Allah dimuka bumi ini”
Bagi melaksanakan dua misi penting di atas ( Tashfiyah dan tarbiyyah ), penulis berpendapat para mahasiswa memerlukan beberapa persiapan. Penulis tertarik dengan saranan Syeikhul Murabbi Fathi Yakan dalam mengariskan beberapa persiapan bagi Human Transformer seperti mana yang termaktub dalam lembarannya al-syabab wa Taghaiyir:
Yang kita maksudkan adalah membentuk aqliyah Islamiyyah ( berfikir secara Islam ) bagi pemuda-pemuda Islam. Apakah ‘thaqafah‘ ( pengetahuan ) yang diperlukan?
Bagi pemuda Islam, supaya membolehkan mereka bangun menunaikan tanggungjawab yang berat itu, mereka memerlukan pemikiran yang sempurna, iaitu:
A) Thaqafah Islamiyyah ( pengetahuan Islam ): Bagi membentuk thaqafah Islamiyyah ini semestinya mempelajari ilmu-ilmu berikut: al-Quran dan tafsirnya, al-Sunnah dan ulumnya, al- Sirah al-Nabawiyah, kehidupan para sahabat, Fiqh dan Usul Fiqh, ilmu Akidah, ilmu Tazkiyah, dan sistem-sistem Islam yang bersifat semasa.
B) Thaqafah Ammah ( Pengetahuan Umum ) iaitu mahasiswa Islam memerlukan pengetahuan, ilmu dan pemikiran lain bagi membolehkannya mengkritik dan menghadapi mana-mana penyelewengan
Bagi membentuk thaqafah umum maka mestilah dipelajari : pengetahuan tentang kemanusiaan, sains, pengetahuan tentang realiti dan sejarah.
2. Persediaan dari kejiwaan. (Spiritual)
Apa yang kita maksudkan ialah pembentukan kejiwaan secara Islam bagi pemuda Islam. Kejiwaan Islam itu ialah kejiwaan yang menggunakan naluri dan kecenderungan mengikut hukum syara’. Persediaan kejiwaan ini samalah pentingnya dengan merealisasikan persediaan pemikiran dan mengamalkan aqliyah Islamiyyah itu.
Persediaan kejiwaan ialah menjinakkan jiwa untuk terikat dengan syarak dalam memenuhi kehendak dan kemahuan. Persediaan kejiwaan merupakan tulang belakang kepada manhaj tarbiyyah. Ianya merupakan hati yang berdegup dan dinamo yang menggerakkan segala enjinnya.
Di sini wajiblah bagi mereka yang bertanggungjawab memberi tarbiah kepada pemuda-pemuda untuk mengetahui bahawa persediaan kejiwaan ini ialah sebagai batu asas dalam pembinaan syakhsiah Islamiyyah. –mindamujahid.wordpress.com