ISLAM JUGA ADA PRINSIP DAN HAKNYA…- Dr Wahbah az-Zuhaily
Bukan penulis yang menemuramah,..gambar ini penulis bersama teman seperjuangan Ust Zulhelmi At-takiri ( blogger attakiri.blogspot.com). ketika menemani beliau menziarahi Syeikh Dr Wahbah Zuhaily sebulan yang lalu
Dr. Wahbah Al-Zuhaily, salah seorang ulama’ besar kotemporari Damsiyq dan dunia Islam telah ditemubual oleh wartawan Itqan berkenaan perkembangan agama dan politik Islam di Malaysia. Ikuti wawancara ekslusif berikut… (wawancara ini telah disiarkan dalam majalah Itqan PPMS edisi 33 yang bertajuk Siasah Syar`iyyah: Tuntutan dan perlaksaannya.). Penulis postingkan buat tatapan ahli gerakan Islam dan sidang pembaca yang budiman.
Itqan : Selepas kejayaan gerakan Islam di Malaysia, ianya telah mengorak langkah untuk bergabung dengan gerakan bukan Islam. Gerakan ini mewakili suku kaum yang pelbagai. Gerakan Islam ini masih belum mampu untuk memimpin seluruh negeri di Malaysia melainkan dengan mendapatkan sokongan daripada gerakan bukan Islam yang lain. Masyarakat Islam di Malaysia mendesak supaya hukum-hakam Islam ditegakkan secara drastik, dalam masa yang sama gerakan lain tidak bersependapat dengan desakan tersebut. Justeru, bagaimanakah metod terbaik bagi gerakan Islam tersebut mengatasi masalah ini?
Dr. Wahbah al-Zuhaily :Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…Amma ba’d;
Sesungguhnya percampuran suku kaum di Malaysia dan juga di negara-negara lain yang majoritinya orang Islam memerlukan kepada satu uslub hikmah dalam berpolitik. Antaranya adalah dengan tidak menyekat non-muslim bebas dari melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka. Namun, di sana terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi bersama. Contohnya, peraturan-peraturan sivil, undang-undang jenayah dan undang-undang yang bersangkutan dengan perlembagaan negara. Maka, apabila dikatakan tidak menghalang non-muslim bebas dari melakukan aktiviti-aktiviti mereka bukanlah bermakna kita menggadai prinsip-prinsip asal kita yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
Oleh itu, pelaksanaan perkara-perkara tersebut adalah termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum syariat, undang-undang, ketamadunan etika atau akhlak serta keagamaan ini dianggap suatu konteks terpenting yang mana undang-undang Malaysia sememangnya tidak terlepas daripadanya.
Itqan : Oleh itu, apakah prinsip-prinsip asas yang perlu ada pada gerakan Islam tersebut jika mendapat tentangan daripada gerakan-gerakan lain?
Dr. Wahbah : Kita tidak harus sama sekali menggadaikan syariat-syariat Agama kita, perlembagaan al-Quran Karim, panduan akhlak-akhlak serta panduan-panduan yang ada pada Islam untuk pengikutnya. Sememangnya kita perlu menjaga prinsip-prinsip Islam tadi dengan tidak melupakan akan timbulnya kemaslahatan-kemaslahatan kepada golongan non-muslim, tanpa kita mengabaikan hak-hak mereka serta tidak mengabaikan muamalat dengan mereka. Bahkan, kita hendaklah memiliki sifat berjaga-jaga serta berhati-hati daripada suku kaum atau pihak tertentu yang mendominasi sistem ekonomi umum negara. Sekiranya perkara ini berlaku secara berterusan ia akan menyebabkan satu kemudharatan kepada masa depan negara Malaysia.
Itqan : Kejayaan gerakan Islam di beberapa buah negeri di Malaysia menyebabkan sebahagian orang Islam meminta supaya dilaksanakan tuntutan ‘nahi mungkar’ secara drastik seperti menutup kedai-kedai arak, disko dan lain-lain. Dalam masa yang sama, ia juga dituntut menolong orang yang dizalimi dan juga membantu golongan fakir-miskin. Persoalannya, perkara manakah yang patut diutamakan (aulawiyyat)?
Dr. Wahbah : Tidak syak lagi bahawa perkara yang sepatutnya didahului adalah menghormati undang-undang Islam. Kita tidak perlu tergesa-gesa dalam menegakkan hukum-hakam Islam. Justeru, perkara yang utama adalah menghormati syiar-syiar Islam dan yang keduanya adalah menguasai sumber makanan harian kita (import eksport). Namun, kita bukan setakat perlu, tetapi wajib berlandaskan syariat Islam.
Adapun mencegah maksiat, ia memerlukan uslub yang berhikmah. Dalam melaksanakan tuntutan ‘nahi mungkar’ ini, kita tidak perlu terlalu gopoh dalam melaksanakannya. Kita wajib mencegah kemungkaran itu, tetapi dengan cara yang lebih berhikmah. Sebagai langkah awal, kita boleh cuba membasmi perkara-perkara yang menyebabkan kerosakkan masyarakat seperti dadah, arak, tempat-tempat pelacuran di samping membasmi kelakuan-kelakuan yang songsang dalam kalangan penganut agama Islam. Dengan kata lain, ianya memerlukan kepada ‘cendikiawan politik’ bagi memastikan uslub yang penuh hikmah dilaksanakan demi memperoleh hasil yang berkesan dalam masa yang singkat tanpa bertindak secara gelojoh ataupun bersikap gopoh.
Itqan : Di manakah ukuran ‘hak persamaan’ antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara Islam? Ada sebahagian fuqaha’ berkata : “Hendaklah ada perbezaan di antara orang Islam dan orang bukan Islam dalam sebuah negara Islam, contohnya orang bukan Islam tidak boleh menaiki kenderaan mewah”?
Dr. Wahbah : Kata-kata fuqaha’ tersebut benar. Tetapi, yang demikian itu adalah ketika negara Islam dan juga orang Islam itu berada dalam keadaan ‘kuat’ dan stabil. Tatkala itu, bolehlah kita melaksanakan kata-kata fuqaha’ tadi. Sebaliknya jika ia dilaksanakan sekarang, maka ia akan menyebabkan penentangan golongan bukan Islam bahkan masyarakat antarabangsa juga akan turut menentang kerana keadaan sekarang tidak mengizinkan ianya dilaksanakan.
Oleh itu, persamaan antara muslim dan non-muslim adalah pada sudut hak milik sebagai contoh dan ianya adalah perkara yang ditunggu-tunggu selama ini. Masyarakat antarabangsa juga menuntut ‘persamaan’ ini tanpa ada perbezaan pada hak berpolitik, bermasyarakat dan berekonomi. Jika pelaksanaan ini berlaku maka ia bermakna ‘persamaan’ tersebut akan terhasil di Malaysia. Manakala perkara yang berkaitan keagamaan mahupun berkaitan suku kaum minoriti, kita disuruh supaya memberi peluang kepada mereka mengamalkan hal bersangkutan agama mereka.
Itqan : Maksudnya di sana tidak perlulah ada perbezaan antara orang Islam dengan bukan Islam dalam masalah tersebut? Dari sudut ekonomi pula bagaimana pandangan Dr. Wahbah?
Dr. Wahbah : Dari segi Interaksi dengan non-muslim tidak ada perbezaan, tetapi dalam konteks ekonomi, setidak-tidaknya kita mesti bersaing dengan mereka dalam masa yang sama perlu berwaspada dan berjaga-jaga supaya peluang yang diberikan itu tidak didominasi 100% atau dalam nisbah yang besar pada benda-benda asas dalam masyarakat, dan sememangnya kita perlu menjaga hak-hak atau keperluan asasi kita. Dalam masa yang sama janganlah kita tidak mengendahkan hak-hak minoriti non-muslim yang lain, janganlah kita berikan urusan tadbir hal yang bersangkutan ekonomi kepada mereka serta janganlah kita memberi lebih daripada yang sepatutnya.
Sebenarnya ia telah membezakan kita dengan non-muslim dan ia juga perlu dinilai pada keadaan yang mana masyarakat Islam tidak percaya akan masyarakat non-muslim dalam sebuah negara. Sekiranya keadaan stabil yakni orang Islam mempercayai antara satu sama lain dan orang bukan Islam tidak mengkhianati orang Islam maka ukuran tadi tidak timbul. Maksudnya, jika keadaan stabil serta masyarakat hidup aman sentosa maka ukuran tadi disarankan agar tidak digembar-gemburkan pada golongan bukan Islam kerana ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat ataupun perpecahan.
Jika perpecahan berlaku, maka ia akan merebak kepada persengketaan, persengketaan pula akan menyebabkan wujudnya suasana tidak aman, suasana tidak aman akan menyebabkan negara lemah dan tidak berfungsi dengan baik. Apabila negara lemah maka secara automatik perkara tersebut akan melahirkan sebuah negara yang ekonominya lemah. Natijah-natijah tersebut menuntut kita agar tidak terlalu tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu, serta harus menjaga asas-asas yang terbinanya syariat Islam itu sendiri tanpa ada ketaksiran dengan satu daripada asas-asas Islam tadi tanpa berlaku zalim terhadap non-muslim. Nabi Muhammad s.a.w telah mewasiatkan kepada kita orang Islam supaya menjaga hak non-muslim tanpa melakukan perkara yang memudharatkan mereka.
Itqan : Kini, terdapat satu isu di Malaysia berkenaan undang-undang tubuh negara telah digariskan 50 tahun dahulu selepas keluarnya pihak British dari Tanah Malayu. Sebelum itu, pihak British telah membawa bersama mereka orang-orang India dan orang-orang Cina bekerja di Malaysia serta mendapat kewarganegaraan Malaysia yang mana undang-undang tubuh Negara tadi mensyaratkan: orang-orang Melayu yang mana mereka adalah penduduk asal hanya dapat menguasai pasaran ekonomi sebanyak 30%, dan 70% lagi dibuka kepada bukan bumiputera, jadi adakah syariat menerima pembahagian ini?
Dr. Wahbah : Sepatutnya nisbah peratus penguasaan pasaran ekonomi hendaklah lebih dari 30% (ketawa), sewajarnya begitu, supaya ekonomi kita tidak jatuh ke tangan bukan Islam, kalau dikaji perkara ini ia mengundang bahaya ke atas masa depan ekonomi (negara Malaysia), kerana kita memberi peluang ke atas pihak yang tidak selamat, serta mereka tidak ada kuasa memerintah dalam negara (dalam bab ekonomi), pada masa sekarang ini nisbah tadi harus diubah dan dikaji balik.
Itqan : Yang menjadi masalah sekarang nenek moyang orang-orang Cina dan orang-orang India 50 tahun dahulu jelas dalam perkara ini, cuma bagi generasi baru yang ada sekarang ini mereka tidak jelas lagi dalam bab ini, nenek moyang mereka jelas serta menerima nisbah tadi kerana mereka mahukan kewarganegaraan Malaysia namun perkara ini telah lama berlaku. Jadi bagaimana pandangan Dr. Wahbah?
Dr. Wahbah : Sebenarnya kita dalam masalah ini hendaklah lebih kuat dan matang, serta kena jelas dalam perkara ini, barang siapa yang mahu hidup “bersama” dengan kita tidak dapat tidak hendaklah mematuhi syarat-syarat yang kita gariskan, adapun jikalau sekiranya “tetamu” lebih banyak kelebihan daripada “tuan rumah”, ini boleh dinamakan “tamak”. Ia boleh mengundang bahaya ke atas kita, kita perlu berwaspada, kerana Allah s.w.t. menjelaskannya di dalam Al-Qur’an: “Maka hendaklah kamu sentiasa berwaspada dan berhati-hati”. Kita berwaspada pada kelakuan-kelakuan mereka yang ganjil supaya mereka tidak mampu menggunakan kesempatan yang diberikan ke atas hak-hak kita.
Itqan : Negara Malaysia ditadbir menggunakan sistem sama dengan sistem perlembagaan British di mana raja sebagai pentadbir negara dalam beberapa hal sahaja dan ia dinamakan sebagai sistem beraja. Persoalannya adakah sistem ini diterima di sisi syariah? Adakah gerakan Islam boleh meneruskan sistem ini atau adakah ia boleh diubah pada masa akan datang?
Dr. Wahbah : Sistem ini sebenarnya tidak di terima oleh syariah Islamiyyah kerana sistem pemerintahan negara Islam sepatutnya berada di bawah kuasa ketua negara sepenuhnya.
Adapun sistem perlembagaan beraja British adalah dengan cara “raja mentadbir tanpa memiliki hak mentadbir negara”. Individu yang bertanggungjawab mentadbir adalah perdana menteri, maka apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang asing menurut kefahaman Islam itu sendiri. Jika nak diikutkan hak asal mentadbir negara adalah di bawah kuasa ketua negara, maka pada pandangan saya lebih elok kalau ditukar sistem pemerintahan negara menjadi sistem pemerintahan republik (yang selari dengan hukum Islam). Pemerintahan juga hendaklah di bawah bidang kuasa ketua negara tanpa menjadikan jawatan ketua negara itu semata-semata jawatan atau nama sahaja.
Itqan : Adakah ini bererti sistem ini wajib diubah pada masa akan datang ?
Dr. Wahbah : Jika anda mampu melakukannnya, maka ianya adalah bertepatan dengan sistem negara Islam.
Itqan : Selain itu, berkaitan dengan orang Islam merayakan perayaan golongan bukan Islam. Apakah batas-batas yang perlu dijaga dalam masalah ini?
Dr. Wahbah : Kita tidak sepatutnya merayakan perayaan mereka (golongan bukan Islam) dan mereka juga tidak sepatutnya merayakan perayaan kita. Perkara ini adalah haram…”barang siapa yang mengikuti sesuatu kaum itu maka ia tergolong di kalangan mereka”(al-hadith). Merayakan perayaan mereka bersama-sama tidak dibolehkan dalam apa jua keadaan sekali pun, kerana perayaan-perayaan tersebut bersifat keagamaan dan ini boleh menyebabkan prinsip-prinsip kita tergadai. Dalam hal ini, kita perlu meninggalkan apa yang dinamakan ‘kebebasan’.
Itqan : Tetapi keadaan di Malaysia sekarang berbeza, apabila gerakan Islam mahu memerintah, ia memerlukan kepada pengikut dari kalangan bukan Islam. Persoalannya, adakah kita harus merayakan perayaan mereka semata-semata untuk maslahat politik ataupun sekadar bermanis-muka di hadapan mereka?
Dr. Wahbah : Kalau kita gadaikan prinsip kita semata-semata untuk mencapai maslahat yang biasa-biasa sahaja (tanpa kepentingan agama), maka perbuatan tersebut tidak dibenarkan sama sekali.
Itqan : Adakah ini bermakna mereka (non-muslim) wajib menerima prinsip-prinsip kita?
Dr. Wahbah : Kita katakan pada mereka biarkan kami dengan apa yang kami anuti dan kami biarkan kamu dengan apa yang kamu anuti. Dengan kata lain, kita tidak harus mendekatkan diri dengan mereka bagi maslahat-maslahat tertentu kita dengan dengan cara merayakan perayaan agama-agama lain. Ini adalah satu bentuk ‘pengiktirafan’ yang tidak sepatutnya terhadap non-muslim dan ianya juga dinamakan sebagai ‘pengiktirafan’ kepada sistem selain daripada sistem Islam. Perkara ini adalah salah satu fenomena ‘kekufuran’ serta ‘kesesatan’ dan ianya tidak harus sama sekali.
Itqan : Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas pandangan dan ilmu yang Al-fadhil Dr. berikan kepada kami. InsyaAllah kami akan siarkan wawancara eksklusif ini dalam majalah rasmi persatuan kami dan medium penerangan umat Islam di Malaysia.
Dr. Wahbah : Sama-sama. Semoga kamu sentiasa diberkati Allah.