PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI
1431H / 2010M
PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA SYRIA
Assalamualaikum wbrkth,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar ,Allahu Akbar.
Kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana masih memberi kesempatan kepada kita untuk mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam buat junjungan Baginda s.a.w. dan para sahabat yang telah memperjuangkan risalah Islam hingga sampai kepada kita hari ini, Alhamdulillah.
” Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa.” ( al-Baqarah: 103 )
Tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan teristimewa dari kejayaan memperolehi TAQWA. Ketaqwaan inilah yang bakal memandu kehidupan kita untuk terus hidup dimuka bumi ini dengan penuh keharmonian agar keharmonian yang dicipta di sini menjadi tiket kebahagian kita semua di akhirat kelak insyaAllah.
Rakan-rakan seakidah sekalian,
Kejayaan menempuh Ramadhan yang lalu sebenarnya cukup menguji seluruh umat-Nya akan erti ketaqwaan dan nilai ibadah pada yang Esa. Sekaligus menyingkap satu persatu sifat, akhlak dan tabiat sebenar hamba-Nya disamping menilai sejauh manakah tahap keimanan dan kekuatan melawan godaan nafsu yang pada waktu sama, syaitan sedikitpun tidak berpeluang membisik ke telinga umat Islam kerana diikat oleh Allah s.w.t di bulan Ramadhan.
Peluang berada di bulan Ramadhan perlu diisi sebaik mungkin. Justeru, setiap amalan yang mendekatkan diri ke pada-Nya perlu dilipat gandakan, kerana realitinya usia kita dari hari ke hari semakin berkurangan bukan bertambah. Dan peluang yang istimewa dan terhad ini boleh jadi ianya adalah yang terakhir buat kita. Namun keistimewaan dan ganjaran itu, pada hari ini sudahpun berlalu dan tidak akan kembali seiring perginya bulan ramadhan al-Mubarak lantas ketika ini hanya muhasabah diri dan berdoa sahaja yang mampu kita lakukan agar kita dipertemukan sekali lagi dengan ramadhan akan datang dan menjadikan muhasabah kali ini sebagai pengajaran yang menginsafkan.
Sahabat dan sahabiah rakan seperjuangan sekalian,
Salam Aidilfitri dan salam kemenangan buat seluruh umat Islam setelah sebulan berada di madrasah ramadhan bulan yang mendidik jiwa, diakhirnya Islam menghadiahkan syawal sebagai bulan untuk kita melahirkan rasa kesyukuran dengan segala nikmat yang telah dikurniakan. Amalan kejar-mengejar pahala di bulan Ramadhan perlu diteruskan juga di bulan Syawal ini. Kerana natijah keikhlasan beramal di bulan ramadhan sebenarnya diukur di bulan-bulan yang seterusnya.
Lantas konsep amal makruf nahi mungkar yang juga sebenarnya lebih mencabar di bulan-bulan selain ramadhan juga perlu diberi perhatian oleh semua yang bergelar Dai’e. Siapakah dai’e tersebut? Jawapannya adalah kita semua yang menuntut di bumi anbiya’ ini. Oleh yang demikian, sekali lagi berpesan, perbanyakkanlah bermuhasabah diri, apakah kita sudah bersedia untuk menjadi penyambung perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
PPMS amat menitik beratkan kebersamaan, perpaduan dan ukhuwwah sesama ahli. Nilai dan makna sebuah ukhuwwah itu boleh dicapai dengan dipelbagaikan perlaksanaannya. Jika di bulan Ramadhan, amalan bersedekah, berbuka dan bersahur bersama, solat tarawih berjemaah dan berqiammullail bersama merupakan di antara aplikasi yang berkesan dalam membentuk nilai ukhuwwah. Adapun di bulan Syawal ini, amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjung, memberi angpow, bertukar-tukar juadah dan sebagainya, juga merupakan aplikasi yang berkesan dalam membentuk ukhuwwah yang salimah.
Persoalan kepada kita, sebagai penuntut di bumi Syam, bagaimanakah perlaksanaan ukhuwwah yang kita sudah laksanakan? Apakah amalan bertukar-tukar pandangan dan nasihat, berkhidmat untuk persatuan, study group secara berkumpulan, berdiskusi, bersedekah ilmu, menghadiri program anjuran PPMS, semuanya itu masih belum dikategorikan di antara kaedah perlaksanaan ukhuwwah? Walhal jika difikirkan, ianya adalah cara yang terbaik bersesuaian dengan status kita sebagai penuntut ilmu Allah s.w.t., dan perlaksanaanya adalah sepanjang masa. Namun kenapa masih ada yang teragak-agak melaksanakannya? Sekali lagi seruan muhasabah diri dianjurkan.
Persatuan Pelajar Malaysia Syria ingin mengambil kesempatan yang terluang ini, untuk mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, kepada seluruh umat muslimin amnya dan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di bumi Syam ini khasnya.
Sekalung penghargaan dihulurkan kepada seluruh jawatankuasa sambutan aidilfirti PPMS 2010 yang bertungkus lumus mengadakan persiapan Sambutan Aidilfitri 1431h. Marilah sama-sama kita meneruskan turning point syahrul ramadhan syahrul mahabbah dengan memeriahkan sambutan aidilfitri pada kali ini sebagai pengukuh kepada jalinan silaturrahim antara kita semua.
Semoga kurniaan TAQWA dibulan Ramadhan Al-mubarak akan mendorong kita untuk terus mengukuhkan perpaduan antara kita kerana dengan itu kita pasti beroleh kejayaan dalam misi menyuburkan keharmonian dan menggempur perubahan.
Sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah seakidah sekalian,
Dalam meniti liku-liku perjuangan menuntut ilmu dibumi barakah yang penuh dengan cabaran ini, jalinan silaturrahim serta kesatuan pemikiran diantara kita teramat penting untuk kita meneruskan perjuagan kita bukan sahaja dibumi Syam ini malahan medan sebenar kita sudah pasti Di Tanah Air tercinta.
Jadikanlah aktiviti ziarah mengziarahi pada bulan syawal ini sebagai medium terbaik untuk kita saling mengeratkan lagi hubungan sesama kita serta saling maaf memaafkan antara kita diseluruh peringkat tidak kira pimpinan mahupun ahli agar misi kita “Pasak Perpaduan Gembur Perubahan” pasti tercapai InsyaAllah.
Cukuplah sekadar itu sebagai renungan kepada kita yang bukannya untuk temenung tapi untuk diamalkan. Marilah kita doakan semoga Ramadan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari Akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Fikr Wal Amal.
“Pasak Perpaduan Gembur Perubahan”
Salam Aidulfitri,
Salam Perjuangan,
Dari Barisan kepimpinan Persatuan Pelajar Malaysia Syria 2010
Wallahu A’lam ,
Assalamualaikum w.b.r.k.t.h.
sumber:e-ppms.org