BISMILLAAHIR-RAHMAANIR-RAHIIM.

Segala puji bagi Allah S.W.T. yang mentadbir sekalian ‘alam. Selawat & Salaam buat junjungan mulia, penghulu para nabi & rasul, Muhammad S.A.W. dan keluarga baginda serta para sahabat radhiyallaahu ‘anhu ajma’iin.Juga tidak lupa kepada mereka yang memikul beban dakwah Islaamiyyah sehingga ke hari kiamat.

ASSALAAMU’ALAIKUM WA RAHMATULLAAHI WA BARAKAATUH.

Saudara/ri yang dihormati lagi dikasihi Allah sekalian, saya cuba menghuraikan makna/ta’riif ; MUHASABAH.

Supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama.

Sebelum daripada kita berbicara dari sudut “ibadat”, eloklah terlebih dahulu kita perhatikan kalimah “muhasabah” ini dari segi makna asal kalimah itu di dalam bahasa arab. Kalimah “muhasabah” adalah ; ismul-masdar yang seerti dengan “hisaabun”.

Di dalam kamus al-Mu’jam al-‘Arabiy al-Asaasiy;

kalimah tersebut berasal dari kata fi’il : haasaba- yuhaasibu ; muhasabah & hisaabaa. bermakna; naaqasahu al-hisaab=berbicara ia akan perhitungan.

Sebagaimana firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu..” (Surah al-Baqarah : 284).

Didalam ayat Al-Quran tersebut kalimah ; “yuhaasibkum bihillaah” bermaksud; “Allah akan membuat perhitungan dengan kamu”.

Manakala di sebut didalam syair arab; ‘Alainaa an nuhaasiba anfusanaa qabla yuhaasibnaa ghairunaa… ; “Hendaklah kita menghisab diri kita sebelum orang lain menghisab diri kita”.

Manakala jika ditinjau di dalam kamus Al-Mawrid al-Quareeb pula perkataan “muhasabah” diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai ; accounting,bookkeeping,; accountancy. Manakala “hisaab: muhasabah” bermakna ; accounting,settlement.

Juga apabila kita merujuk kepada kamus klasik arab-melayu:- Qamus Idris al-Marbawi , kalimah “muhasabah” bermakna; berkira-kira, berhitung-hitung( menghitung).

“hisaab” bermakna ; kira-kira, bilangan, hitungan.

manakala “haasib”(ismul-faa’il) bermakna ; (orang)yang mengira, (orang) yang menghitung.

Setelah memahami makna-makna kalimah inilah baru mudah bagi kita untuk membicarakan ta’riif MUHASABAH sebagaimana yang termaktub dalam kitab yang telah di tahqiq dari kitab Ihya’ ‘Uluumud-diin; Imam Al-Ghazali r.h. iaitu kitab yang bernama Minhaajul-Qaasidiin; Imam Ibnu Al-Jauzi.

Saudara/ri yang saya kasihi lagi dirahmati Allah SWT sekalian,  setelah kita memahami makna kalimah “muhasabah” maka, insyaAllaah kita akan mengetahui pilak kepentingan ; MUHASABAH. Merujuk ( & diterjemahkan daripada ) kitab – Mukhtashar Minhaajul-Qaasidiin; syarah oleh: As-Syeikh Ahmad bin Abdur-Rahman al-Maqdisi – drp. Al-Imam Ibnu Al-Jauzi drp. Ihya’ ‘Uluumud-diin; Imam Al-Ghazali r.h.; (m/s 397. cet. Daarul-Kitaab al-‘Arabi).

BAB FIL-MUHAASABAH WAL-MURAAQABAH

Firman Allah S.W.T (yang bermaksud):

“(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya ) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya; sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya;(ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalannya yang jahat itu.Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyiksa kamu).Dan (ingatlah), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya”. (Surah ali ‘Imran: 30)

Dan firmanNya lagi (yang bermaksud) :

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung”. (Surah al-Anbiyaa: 47)

Dan firmanNya lagi (yang bermaksud):

“Dan ‘Kitab-kitab Amal’ juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada sesiapapun”. (Surah al-Kahfi: 49)

Dan juga firmanNya (yang bermaksud) :

“Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah az-Zalzalah : 6-8)

Maka ayat-ayat ini menjelaskan tentang kedahsyatan hisab(perhitungan) pada hari kiamat & apa-apa yang berkenaan dengannya. Dan bagi orang-orang yang mengetahui mereka menyedari bahawa sesungguhnya mereka tidak akan dapat melepasinya (dahsyatnya perhitungan itu) melainkan dengan melazimkan muhasabah bagi diri-diri mereka dengan sebenar-benar muraaqabah (mengawasi diri).

Maka barangsiapa yang menghitung amalannya di dunia, diringankan hisab baginya di hari kiamat, diperelokkan tempat kembalinya di akhirat. Dan barangsiapa yang tidak mengendahkan muhasabah, maka akan berterusanlah kekesalannya di akhirat kelak. Maka untuk itu, ketahuilah kamu! Demi sesungguhnya mereka itu tidak akan berjaya melainkan dengan ketaatan (kepada Allah SWT) dan sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan supaya bersabar & bermuraathabah (persediaan diri). Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud) :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, dimedan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan )…” (Surah ali ‘Imran : 200)

Maka teguhkanlah diri-diri kamu terlebih dahulu dengan musyaarathah (penugasan diri), kemudian muraaqabah (pengawasan diri), kemudian muhaasabah (perhitungan diri), kemudian mu’aaqabah (penghukuman), kemudian mujaahadah (kesungguhan), kemudian mu’aatabah (berpenat-lelah). Kerana bagi muraathabah itu enam maqam, yang mana semuanya berasal daripada; MUHAASABAH….

(*Sekiranya saya meneruskan ‘bahasa’ sebagaimana di dalam kitab ini, maka pasti kita tidak dapat memahami istilah-istilah tersebut & juga perbahasannya boleh mengelirukan atau membosankan saudara/ri. Oleh itu elok rasanya saya ringkaskan dan mengambil mafhumnya sahaja secara mujmal- penulis).

Ketahuilah, seperti mana seorang ‘bisnesman‘ yang membantu rakan kongsinya di dalam perniagaan pastilah dia mahukan keuntungan di dalam perniagaan tersebut. Dan pasti dia meletakkan tugasan-tugasan dan mengira untung dan rugi di dalam perniagaan. Begitulah akal & jiwa ini saling memerlukan diantara satu sama yang lain. Dia menugaskan kepada (dirinya) tugasan-tugasan, meletakkan syarat-syarat yang menunjukkan jalan kepada kemenangan (di akhirat kelak).

Maka hendaklah kita senantiasa menghisab amalan-amalan ibadat kita pagi dan petang. Ibarat ‘bisnesman’ tadi yang meletakkan ‘modal’ di dalam perniagaannya, pasti dia mahukan keuntungan…! Maka bagi hamba Allah SWT seperti kita ini, ‘modal’ kita adalah ‘umur’ kita yang Allah Ta’ala berikan setiap hari…untuk kita mengerjakan amalan-amalan yang wajib seperti solat & sebagainya. Adakah sekadar itu yang kita mahukan?!!! Maka disinilah solat-solat nawaafil ( yang sunat) dan ibadat-ibadat sunat yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain adalah merupakan ‘keuntungan’ daripada ‘perniagaan’ kita setiap hari sebagai hamba Allah ‘Azza wa Jalla.

Maka muhasabah dalam ertikata yang seperti ini, menuntut kita menilai dan menghitung apa yang telah kita kerjakan sepanjang hari, minggu, bulan , tahun dan sepanjang usia kita hidup di muka bumi Allah SWT ini. Bagaimana solat lima waktu kita..? cukup atau tidak..?!!! Adakah kita ada mengerjakan dosa pada hari ini..?!!! Maka bersegeralah dan beristighfarlah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Boleh saya katakan :- “Muhasabah adalah merupakan satu juzu’ penting di dalam jadual hidup muslim. Tanpanya, insan akan senantiasa mengulangi kesilapan tanpa merenung ke dalam diri, menghisap ‘amal perbuatan, mengakui ketelanjuran seterusnya merendahkan diri memohon maaf.”. Semoga dengan ini, setiap detik di dalam kehidupan kita dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.

(Surah al-Haaqah : 18)

Marilah kita sama-sama menghitung ‘bekalan’ yang akan kita bawa ke alam yang kekal lagi abadi. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya; dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)…Dan (sekali lagi diingatkan); Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan” (surah al-Hasyr : 18)

Janganlah kita mengabaikan muhasabah. Firman Allah SWT lagi (yang bermaksud) :

“…Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu-persatu, sedang mereka telah melupakannya.Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu”

(Surah al-Mujaadalah :6 ).

Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri kita.

sabda Rasulullah SAW (mafhumnya):

: ” …bahawa engkau beribadat kepad Allah seakan-akan engkau melihatNya, akan tetapi engkau tidak dapat melihatNya, (tetapi ) Dia melihat engkau “. riw. Imam Bukhari & Muslim.

Akhir kalam, saya juga memohon maaf diatas segala kesilapan saya samada sengaja atau tidak, dalam pergurauan dan sebagainya, terutama kepada saudara/ri yang salah faham dengan sikap saya. Moga menerima segala amal kebajikan kita untuk tahun 1432 dan memasukan kita dikalangan umat yang menerima Syafaat kekasihNya yang Mulia muhamaad SAW.

“ISTIQAMAH PEMANGKIN KEBANGKITAN”

Muhammad Mujahid Mohd Mohtar

Mahasiswa tahun 4

Institute pengajian Syeikh Ahmad Kiftaro

Damsyik-Syria

Categories: MINDA MUJAHID
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: