Futsal Presiden: Medan Mengeratkan Persaudaraan
Pada 9-10 Julai akan datang, kita akan menyaksikan pelbagai aksi dari pelbagai kumpulan yang menyertai pertandingan Futsal Piala Presiden PPMS 2010. Piala ini dianjurkan tepat pada masanya, ketika mana dunia tertumpu kepada World Cup di Suoth Africa. Kita PPMS menganjurkan Piala Presiden bagi para peminat bola di Bumi Syam ini.
Pertandingan ini diadakan sebagai alternatif kepada ahli PPMS untuk Bersukan, kerana otak yang cergas datangnya dari badan yang cerdas. Tetapi antara objektif utama pertandingan ini adalah untuk mengeratkan hubungan persaudaraan sesama ahli PPMS, terutamanya Ahli dan pimpinan. Melihat kepada peripentingnya hubungan Ukhuwwah Islamiyyah, maka PPMS ingin menjadikan pertandingan pada kali ini sebagai medan untuk mengeratkan dan mengukuhkan persaudaraan sesama ahli. Justeru artikel ini ditulis adalah untuk berkongsi bersama dengan para pembaca sekalian tentang kepentingan Ukhuwwah Islamiyyah.
Sesungguhnya Ukhuwwah Islamiyyah atau persaudaraan Islam merupakan manifestasi daripada aqidah dan keimanan sebenar seseorang Muslim. Al-Syahid Hassan Al-Banna telah menyifatkan, “Ukhuwwah ialah ikatan hati dan jiwa yang diasaskan oleh aqidah. Dimana AQIDAH merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ia juga merupakan natijah keimanan, manakala perpecahan adalah sebahagian dari kekufuran.”
Setiap muslim perlulah memahami bahawa perpaduan dan kesatuan merupakan suatu kekuatan. Kesatuan tidak akan lahir tanpa kasih sayang. Darjah kasih sayang yang paling rendah ialah seseorang itu merasa senang dan tenteram terhadap saudaranya. Manakala darjat yang paling tinggi ialah seseorang itu mampu mengutamakan saudaranya melebihi dirinya . Sifat ini juga disebut “Ithar”.
PENGERTIAN UKHUWWAH
Ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan Islam) merupakan anugerah suci dari Allah SWT. Ia juga sebagai suluhan Rabbaniah dan nikmat Illahiyyah.
Ukhuwwah merupakan kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-hambanya yang ikhlas, penolongnya dan orang-orang yang membersihkan jiwa mereka untuk Allah. Firman Allah yang bermaksud:
“Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat manyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha perkasa lagi Maha Bijaksana.”(Surah Al-Anfal: 62-63)
Ukhuwwah merupakan kekuatan iman seseorang. Ia melahirkan perasaan lemah lembut, kasih sayang, hormat menghormati serta saling percaya mempercayai dikalangan setiap mereka yang bertanggungjawab Ukhuwwah juga merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa.Tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa Ukhuwwah. Begitu juga tidak ada persahabatan tanpa taqwa dan tiada taqwa tanpa persahabatan. Adapun tiada Ukhuwwah tanpa iman dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat: 10)
Dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan bahawa tiada persahabatan tanpa taqwa. Maksudnya: “Teman-teman rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Zukhruf:67).
KELEBIHAN UKHUWWAH
Bagi mereka yang menghayati konsep Ukhuwwah Islamiyyah didalam kehidupan, mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Hal ini dapat dilihat melalui hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
- Wajah mereka bercahaya:
- Mendapat perlindungan Arasy Allah pada hari qiamat:
- Merasai kemanisan iman:
- Mereka dilimpahi kasih Allah:
SYARAT UKHUWWAH PADA JALAN ALLAH
Di antara syarat-syarat ukhuwwah yang seharusnya dipenuhi oleh setiap muslim yang menghayati konsep ukhuwwah sebenar ialah seperti berikut;
Ikhlas kerana Allah;
Ukhuwwah yang sebenar tidak akan lahir sekiranya hubungan yang terjalin di antara mereka di atas dasar dan matlamat selain daripada Allah SWT. Oleh itu, bagi setiap pendakwah perlulah memastikan hubungan mereka di antara sahabat-sahabat sefikrah dan sewadah mestilah kerana Allah dan bukanlah kerana kepentingan yang lain dariNya.
Apabila keadaan ini berlaku, maka akan lahirlah keberkatan dalam bersaudara seterusnya membuahkan kemanisan berukhuwwah. Justeru, ia melahirkan kemanisan bekerja di kalangan ahli jamaah lantaran kasih sayang, tanggungjawab, keperihatinan dan bantu membantu dikalangan mereka. Sebenarnya, situasi ini merupakan elemen penting yang menjamin kelancaran dan kejayaan kerja-kerja dakwah.
Disertakan dengan keimanan dan taqwa;
Ukhuwwah Islamiyyah menuntut kepada keimanan dan ketaqwaan di antara mereka yang bersaudara. Lazimnya, jalinan ukhuwwah sebenar adalah sukar untuk dibina di kalangan individu2 lemah keimanannya dan nipis ketaqwaan.
Bertanggungjawab terhadap manhaj Islam;
Bagi mereka yang berukhuwwah pada jalan Allah hendaklah saling nasihat menasihati saudaranya kerana Allah. Saling tegur menegur dan bersikap tegas dan ikhlas dalam memperbaiki kelemahan atau kecacatan saudaranya kerana Allah. Rasulullah s.a.w. sendiri telah berbai’ah dengan para sahabat untuk mendirikan sembahyang, membayar zakat dan memberi nasihat kepada setiap muslim.
CARA-CARA UNTUK MENGUKUHKAN UKHUWWAH ISLAMIYYAH
Ukhuwwah Islamiyyah hanya akan lahir dan subur malalui keyakinan dan amalan. Hal ini bersesuaian dengan sifat Islam yang bersifat teori dan juga mengutamakan praktikal. Di samping keimanan, setiap muslim perlu berusaha memastikan tingkah laku serta pergaulan harian mereka akan menyuburkan semangat Ukhuwwah di kalangan mereka. Di antara tatacara yang boleh membantu dalam memperkukuhkan Ukhuwwah di kalangan kita ialah:
Apabila saudara mengasihi seseorang kerana Allah, maka ia hendaklah memberitahunya dia mencintainya.
Hendaklah melazimkan berjabat tangan apabila bertemu dengan seseorang.
Hidupkan program ziarah-menziarahi dari semasa ke semasa.
hendaklah mengucapkan tahniah kepada saudaranya pada tempat yang menusabah.
Lazimkan memberi hadiah dalam keadaannya yang sesuai.
Berikanlah keutamaan dalam menunaikan hajatnya.
Hendaklah memberikan hak-hak Ukhuwwah kepadanya. Samada hak-hak umum atau hak-hak Ukhuwwah yang khusus.
KESIMPULAN
Ukhuwwah Islamiyyah yang mantap di kalangan ahli merupakan kekuatan dalaman PPMS yang sukar digugat. Melaluinya akan lahirlah ahli-ahli yang thabat, istiqomah dan bersedia berkorban untuk kepentingan Islam. Mereka juga ibarat mata rantai yang kukuh bagi jentera yang kecil tetapi mampu menggerakkan beban yang berat.
Sekian, wassalam