Embun Hidayah
Alhamdulillah, bersyukur penulis kehadrat Ilahi kerana diberi kesempatan dan keizzinan untuk menghirup udara keimanan dan ukhuwah kerana Islam. Kerana dengan Islam, kita semua disatukan. Kelazatan dalam berukhuwah lebih penulis terasa apabila ukhuwah dan talian persahabatan yang diikat dan dibina merentasi benua, bangsa, negara, warna kulit dan iklim.
Bagi hamba-hambanya yang ikhlas, ukhuwwah merupakan anugerah Allah yang dikurniakan bagi meningkatkan kekuatan iman sekaligus melahirnya individu yang berkasih-sayang kerana-Nya, saling hormat-menghormati serta saling percaya-mempercayai atas dasar aqidah yang satu.
Terima kasih penulis ucapkan kepada dua teman karib penulis dari Senegal ini, iaitu Syeihk Abdullah Syisyi dan Syeikh Abdullah Shinshin. Kerana dengan persahabatan yang kita bina ini, menyedarkan dan memahamkan penulis akan agama islam yang syumul, mutakamil, adil dan sakasama dengan lebih praktikal dan jelas.
Atas dasar ikatan ukhuwah ini inilah, penulis pernah mengalirkan air mata. Air mata yang kagum dan sedar akan hakikat Islam yang sebenar. Penulis dapat bayangkan bagaimana Nabi menjadi teman yang karib kepada seorang kulit hitam yang bernama Bilal Bin Rabah R.H. Apakah yang asas utama kepada mereka dalam membina tali persahabatan ini?. Mungkin kenyataan Murabbi yang mulia Syeikh Hasan Al-Banna serta dua sumber utama Islam dibawah ini dapat menjawab persoalan yang penulis lontarkan ini.
”Ukhuwwah yang dimaksudkan ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah. Aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ukhuwwah adalah saudara iman, manakala perpecahan pula adalah saudara kekufuran. Kekuatan yang paling kuat ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan hati terhadap saudara seislam, dan yang paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain dari diri sendiri)”.
Firman Allah Taala dalam surah al-Hujuraat ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Sabda Rasulullah saw :
“Jika sekiranya ditakdirkan seorang hamba Habsyi yang hina-dina untuk memimpin kamu dengan kitab Allah, maka hendaklah kamu dengar dan patuh”
Manisnya berukhuwah kerana Islam……..
Sabda Nabi S.A.W:
Daripada Anas, daipada Nabi SAW, baginda bersabda : “Tiga sifat sesiapa yang memilikinya, sesungguhnya dia dapat mengecapi kemanisan iman : Hendaklah dia menyintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang lain, mengasihi seseorang kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam neraka”. Dikeluarkan oleh Bukhari dalam kitabnya pada bab kelazatan iman.
Ulasan Hadis:
Seseorang tersebut tidak akan dapat merasai kemanisan iman melainkan apabila dia mempunyai sifat ukhuwwah yang sebenar iaitu berkasih kerana Allah. Ukuran iman seseorang mukmin itu juga terletak pada sayangnya saudara itu kepada saudara seislamnya yang lain dengan menyamai kasihnya pada dirinya sendiri. Ukhuwwah juga merupakan satu perkara yang melazimi iman : tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwwah.
Sirah:
Kisah Pengorbanan di Perang Yarmuk: (Minuman beralih-alih untuk 3 orang yang sedang nazak. Akhirnya ketiga-tiga tersebut meninggal tanpa seorang pun dapat minum minuman tersebut)[1]
Ulasan Sirah:
Ukhuwwah merupakan mekanisme yang terpenting dalam pembentukan sesebuah jemaah. Pengorbanan akan lahir hasil dari ukhuwah yang sejati. Pengorbanan seorang sahabat yang sanggup mengorbankan diri demi kepentingan sahabat yang lain. Kesan-kesan ukhuwwah (dapat menyatukan dan mengukuhkan kesatuan umat islam demi mencapai matlamat dakwah Islam yang ingin dicapai).
Sedikit panduan dan tips-tips penulis berikan dalam membina ukhuwah Islamiah dan menepati ciri ukhuwah yang sejati serta menepati syariat. Moga dengan sedikit panduan ini, akan menguatkan lagi ukhuwah sesama kita untuk terus utuh dan teguh. Selamat berukhuwah… nikmat dan manisnya berukhuwah
1. Syarat-syarat berukhuwah:
a) Ukhuwwah hanya kerana Allah s.w.t.
b) Mesti disertai dengan iman dan taqwa.
c) Tertegak atas dasar saling menasihati kerana Allah s.w.t.
d) Sentiasa bersama ketika senang mahupun susah.
2. Antara kelebihan-kelebihan berukhuwah:
a) Wajah-wajah mereka akan diserikan dengan nur.
b) Diampunkan dosa oleh Allah s.w.t.
c) Akan berada di bawah naungan Arasy Allah s.w.t. di hari kiamat.
d) Berada di dalam pemeliharaan Allah s.w.t.
e) Dijanjikan syurga Allah s.w.t.
f) Mereka akan merasai kemanisan iman.
3. Uslub merapatkan dan mendalami ukhuwah yang di anjurkan oleh Rasulullah:
a) Menyatakan rasa kasih dan suka kepada sahabat.
b) Banyakkan ziarah dari semasa ke semasa.
c) Memberi ucapan tahniah atau ucapan-ucapan yang baik serta memberi hadiah sekiranya ada peristiwa yang baik.
d) Memberi perhatian dan sokongan dalam menunaikan impian sahabat.
e) Sekiranya berpisah, hendaklah meminta rakannya berdoa kepadanya.