Apabila Imtihan Menjelma Lagi
Sumber asal: www/e-ppms.org
Bismillahirrahmanirrahim,
Menyorot kembali sejarah ulama-ulama terdahulu, bagaimana cara mereka dalam menuntut ilmu menyebabkan kita merasa betapa jauh jarak yang membezakan antara cara kita dan cara mereka. Kita yang telah dihidangkan berbagai-bagai kemudahan, namun masih melutut di takuk yang sama. Ulama terdahulu sanggup merentasi negara dan benua dalam usaha mencari sepotong hadis. Betapa hebatnya kehendak mereka dalam mencari ilmu pengetahuan bak kuku dan isi, tidak boleh dipisahkan.
Menjelang musim imtihan yang akan tiba tidak lama lagi, suka penulis menyentuh mengenainya. Penulis rasa ramai yang sudah memperhebatkan usaha-usaha bagi mendapatkan kejayaan yang diidam-idamkan oleh semua pelajar. Dari kelas khususi hingga ke meja study, semuanya rancak berjalan. Seronok kitab-kitab kerana sudah tidak berhabuk lagi setelah lama menyepi.
Apa yang paling penting dalam diri kita semua ialah kefahaman mengenai perlunya kita mengambil sebab untuk berjaya. Ada orang kata, “bace banyak-banyak pun buat ape, kalau Allah tak bagi lulus tak lulus juga”. Jika ada yang berfikir sebegini ianya adalah satu kesilapan yang besar. Allah swt sendiri telah menyarankan supaya kita mengambil sebab dalam apa jua keadaan sekalipun. Penulis teringat sebuah kata-kata yang masyhur daripada saidina umar: ”Ya, kita melarikan diri dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah yang lain”
Ada juga orang berkata “Bila nak dekat imtihan baru nak tingkatkan usaha, nampak cam tak ikhlas dengan ilmu, lebih baik buat cam biase”. Betulkah kata-kata ini? Dari satu sudut mungkin nampak betul tetapi dari sudut yang lain ianya salah. perkara pertama yang kita perlu fahami ialah imtihan ini adalah salah satu dari pembelajaran. Jadi apa salahnya kita membaca kitab untuk imtihan kerana imtihan tidak berbeza dengan cara pembelajaran yang lain. Yang salah, sekiranya sebelum imtihan langsung tidak membaca buku, bila tiba imtihan baru mula kelam-kabut. Kita telah memilih cara belajar yang perlu menghadapi imtihan, jadi masuk akallah sekiranya apabila imtihan semakin hampir, kita tingkatkan usaha semaksimum yang mungkin.
Bak kata pepatah ”Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”, ianya amat bertepatan dengan keadaan tika ini. Jika yang mahu mencapai kecemerlangan, seribu satu usaha sedang dilakukan. Namun bagi yang sebaliknya masih leka dibuai mimpi indah bersama sang bidadari, Bila ditanya, seribu satu alasan dan dalih diberikan. Terkadang penulis perhatikan, apabila semakin banyak ilmu seseorang dia akan semakin pandai beralasan.entahlah…
Ramai di kalangan kita yang sudah mempunyai cara tersendiri dalam menghadapi peperiksaan. Dari petua Dr. Fadhilah kamsah hingga ke H.M Tuah Iskandar, semuanya sudah bersedia. Namun, dalam kita bersiap secara zahirnya jangan kita lupakan persiapan rohani. Marilah kita lebih mendekatkan diri kepada tuhan yang menciptakan alam ini. Diri kita, syeikh hingga imtihan semuanya dia yang ciptakan. Maka untuk kita mendapatkan kecemerlangan di dalam imtihan, perkara pertama yang kita patut lakukan ialah menguatkan keyakinan kita terhadap Allah swt dengan ibadat-ibadat yang telah disyariatkan. Biarlah petua dari motivator yang terhebat sekalipun, jika diri kita berjauhan dengan Allah swt, sukar untuk kita mendapatkannya.
Hidup di dunia bak roda, terkadang di atas terkadang di bawah. Yang mendapatkan kejayaan bersyukurlah dengan sebesar kesyukuran kepada Allah swt. Ikutlah, nak belanja kawan serumah nasi mandi pun apa salahnya, yang penting rasa syukur. Bagi yang masih belum berjaya, tingkatkan usaha kerana mungkin usaha yang kita lakukan masih belum mencukupi untuk mencapai sebuah kejayaan. Selamilah hikmah di sebalik keadaan yang berlaku, pasti membawa kebaikan kepada hidup kita.
Akhirnya, sedikit cebisan yang penulis coretkan ini hanyalah untuk mengingatkan diri sendiri dan juga teman-teman seperjuangan di Bumi Syam ini. Selamat berimtihan dari kami warga Biro Akademik 09 dan semoga berjaya di dalam apa jua imtihan yang dilalui.amin…